HEBAHAN

SEMUA KETUA PEMBANTU TADBIR & PEMBANTU TADBIR LANTIKAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (SPP) DIALU-ALUKAN MENJADI AHLI KEPTAN. DAFTAR SEKARANG! SILA HUBUNGI PENGERUSI CAWANGAN ATAU SETIAUSAHA CAWANGAN BAGI MENDAPATKAN PENERANGAN BERKAITAN KEPTAN DAN MENDAFTAR. *** KEPTAN CAWANGAN SEDANG MENGEMASKINI MAKLUMAT TERKINI AHLI CAWANGAN. SEGALA KESULITAN AMAT DIKESALI. *** SEMUA AHLI KEPTAN CAWANGAN TEMERLOH DIPOHON MENGISI "BORANG KEMASKINI MAKLUMAT AHLI" YANG BOLEH DIAKSES DI DASHBOARD BLOGSPOT KEPTAN CAWANGAN SEKIRANYA BERLAKU PERUBAHAN TEMPAT BERTUGAS SEMASA ATAU MAKLUMAT PERIBADI SUPAYA MAKLUMAT TUAN/PUAN DAPAT DIKEMASKINI DARI SEMASA KE SEMASA

5 Sept 2019

[ BERITA ] MEKANISME BAHARU GANTI SKIM PENCEN PERKHIDMATAN AWAM


Borhan menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam di PICC Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir    

Mekanisme baharu ganti skim pencen perkhidmatan awam

PUTRAJAYA: Mekanisme baharu yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, berkata inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Katanya, kaedah mengurangkan bebanan pencen bagi kerajaan sudah pun dilaksanakan tetapi bukan dalam skala besar.

“Contohnya, seperti tentera ketika ini yang mempunyai lantikan jangka pendek dan jangka panjang, yang mana jangka pendek adalah tidak berpencen.

“Jadi, lantikan baharu ke dalam perkhidmatan awam selepas ini mungkin kontrak saja, tetapi ia akan dipadukan supaya lebih menarik dengan gaji lebih baik, perlindungan kebajikan dan keselamatan dalam pekerjaan.

“Mungkin juga ada perkhidmatan tertentu saja yang akan kita lantik tetap. Lantikan tetap ini juga mungkin boleh kita jadikan dua versi iaitu lantikan tetap berpencen dan tidak berpencen.

“Jadi, akhirnya kita lihat untuk jangka masa panjang kerajaan tidak akan tanggung beban pencen,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam (HRMC) 2019 di sini, hari ini.

Tahun lalu, berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kerajaan disaran menyemak semula skim pencen penjawat awam berikutan jangkaan peningkatan beban kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Menurut laporan itu, skim pencen sedia ada mungkin tidak dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang kerana ia akan menambah beban kewangan yang ditanggung kerajaan.

Mengulas lanjut, Borhan menjelaskan pihaknya sudah membentangkan kertas awalan merangkumi pelbagai opsyen ke arah mengurangkan bebanan pencen kerajaan kepada jemaah Menteri dan Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam.

“Tetapi ia belum dimuktamadkan dan kita diminta untuk terus lagi memperbaiki serta memperhalusi pelbagai opsyen yang diberikan dan keputusan akhirnya akan dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Bebanan pencen kerajaan yang meningkat saban tahun sekarang ini mencecah RM28 bilion setahun dan kita mahu lihat mekanisme supaya kerajaan kurang dibebani dengan perkara ini.

“Jika boleh cecah penjimatan RM5 bilion setahun kepada kerajaan pun adalah baik tetapi ini semua bergantung opsyen yang dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab mengenai sama ada relevan untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disatukan, Borhan berkata memang ada perancangan ke arah itu dan beliau yakin jika dizahirkan, ia tidak mendatangkan masalah.


Pautan asal : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/603491/mekanisme-baharu-ganti-skim-pencen-perkhidmatan-awam

No comments:

Post a Comment