HEBAHAN

SEMUA KETUA PEMBANTU TADBIR & PEMBANTU TADBIR LANTIKAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (SPP) DIALU-ALUKAN MENJADI AHLI KEPTAN. DAFTAR SEKARANG! SILA HUBUNGI PENGERUSI CAWANGAN ATAU SETIAUSAHA CAWANGAN BAGI MENDAPATKAN PENERANGAN BERKAITAN KEPTAN DAN MENDAFTAR. *** KEPTAN CAWANGAN SEDANG MENGEMASKINI MAKLUMAT TERKINI AHLI CAWANGAN. SEGALA KESULITAN AMAT DIKESALI. *** SEMUA AHLI KEPTAN CAWANGAN TEMERLOH DIPOHON MENGISI "BORANG KEMASKINI MAKLUMAT AHLI" YANG BOLEH DIAKSES DI DASHBOARD BLOGSPOT KEPTAN CAWANGAN SEKIRANYA BERLAKU PERUBAHAN TEMPAT BERTUGAS SEMASA ATAU MAKLUMAT PERIBADI SUPAYA MAKLUMAT TUAN/PUAN DAPAT DIKEMASKINI DARI SEMASA KE SEMASA

1 Oct 2019

TEKS UCAPAN YBM PENDIDIKAN MALAYSIA SEMPENA HARI PEMBANTU TADBIR PENDIDIKAN 2019


HOTEL REGENCY, KUALA LUMPUR
1 Oktober 2019










TEKS UCAPAN (Dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia)

YB DR. MASZLEE BIN MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PERASMIAN HARI PEMBANTU TADBIR PENDIDIKAN PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PEMBANTU TADBIR PENDIDIKAN KALI PERTAMA TAHUN 2019

TEMA: “INTEGRITI MEMPERKASA ORGANISASI”

BERTEMPAT DI REGENCY HOTEL, KUALA LUMPUR

1 OKTOBER 2019 (SELASA)

Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

(Solutation)

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan berkat keizinan- Nya, kita dapat hadir bersama-sama dalam suasana yang penuh mesra dan meriah bagi Sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan, Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 yang julung kalinya diadakan pada hari ini.

2. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) yang telah bekerjasama bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merealisasikan sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan ini dengan jayanya.

3. Saya masih ingat idea untuk mengadakan majlis ini telah diutarakan kepada saya oleh pihak KEPTAN dalam sebuah majlis Konvensyen Pembantu Tadbir Pendidikan yang diadakan pada 20 Mac 2019 yang lalu. Saya berpandangan tidak ada salahnya majlis Hari Pembantu Tadbir Pendidikan ini diadakan demi menghargai sumbangan dan perkhidmatan Pembantu Tadbir di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Tema: “INTEGRITI MEMPERKASA ORGANISASI”

4. Saya dimaklumkan bahawa tema bagi majlis ini adalah “Integriti Memperkasa Organisasi”. Tema ini adalah berdasarkan daripada pertandingan mencipta tema yang dianjurkan sendiri oleh KEPTAN. Pemilihan tema “Integriti Memperkasa Organisasi” ini adalah sangat bersesuaian dengan aspirasi Negara di mana ianya merupakan salah satu aspek keutamaan dalam perkhidmatan awam di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini.

5. Syabas juga saya ucapkan kepada KEPTAN kerana pemilihan tema ini juga mencerminkan kesungguhan tuan-puan dalam meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan yang berteraskan integriti.

6. Sememangnya salah satu fokus negara seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan iaitu untuk memastikan janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah dapat direalisasikan dengan jayanya. Justeru itu, sebagai anggota kumpulan pelaksana yang berperanan penting dalam memastikan kelancaran sistem pengurusan pentadbiran dalam organisasi pendidikan, para Pembantu Tadbir Pendidikan hendaklah menghayati nilai integriti ini yang seterusnya dapat menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan individu secara amnya, seterusnya menjadi kayu ukur kecemerlangan perkhidmatan negara secara keseluruhannya.

7. KPM mempunyai seramai 27,229 Pembantu Tadbir (Perkeranian & Operasi) dan Pembantu Tadbir (Kewangan) dan jika semua Pembantu Tadbir dapat menghayati semangat bekerja dengan penuh integriti pastinya kita akan dapat mengangkat kualiti perkhidmatan dan produktiviti Pembantu Tadbir ke tahap yang lebih tinggi.

8. Integriti secara umumnya adalah kualiti unggul yang perlu ada pada diri seseorang individu dan organisasi. Budaya integriti sangat berkait rapat dengan isu-isu etika dan nilai murni. Integriti penjawat awam memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-­undang. Kepentingan meletakkan budaya berintegriti di tahap tertinggi bukan sesuatu yang baharu malah seharusnya ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sepanjang masa.

9. Amanah atau integriti ini merupakan salah satu sifat mulia yang dizahirkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ajaran untuk bersifat amanah ini selari dengan perintah ALLAH di surah An Nisa ayat 58 yang ertinya “sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, ALLAH sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, ALLAH Maha Mendengar, Maha Melihat”.

10. Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, beliau berazam untuk meletakkan sektor perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan awam terbaik di kalangan negara membangun dan rantau ini. Budaya berintegriti sangat diberi penekanan oleh beliau dimana sentiasa mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian sebaliknya bersikap apolitikal dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, dan tidak terlibat dalam apa jua perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

11. Di samping itu juga, amalan budaya kreatif dan kebolehan berfikir di luar kotak juga digalakkan agar setiap warga perkhidmatan awam boleh mempertajamkan dan mengaplikasikan kebolehan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing, sekali gus memperkukuh amalan budaya berintegriti.

12. Seterusnya, dalam memastikan kelancaran proses pembangunan Malaysia mencapai status negara berintegriti tinggi, berdaya tahan dan mengamalkan nilai murni sejagat, langkah yang lebih komprehensif adalah dengan perubahan minda dalam kalangan penjawat awam supaya tahap pemikiran minda kelas pertama dapat dibentuk.

13. Maka adalah penting kita sebagai penjawat awam melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan orang luar terhadap penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara.

Sidang hadirin sekalian,

Peranan Pembantu Tadbir Pendidikan

14. Pada masa kini, seramai 27,229 Pembantu Tadbir Pendidikan yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) dan Pembantu Tadbir (Kewangan) sedang berkhidmat di KPM di bawah lantikan Suruhanjaya Perkidmatan Pendidikan (SPP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Mereka ini terlibat dalam bidang perkhidmatan, pentadbiran, kewangan serta pengurusan aset alih dan stor yang mana ada diantaranya yang bertugas di Bahagian-bahagian di bawah KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Vokasional (KV), Politeknik, Kolej Komuniti dan juga sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

15. Justeru, para Pembantu Tadbir Pendidikan ini berperanan penting bagi memastikan kelancaran sistem pengurusan pentadbiran organisasi pendidikan sebagai tulang belakang atau perkhidmatan sokongan kepada Kementerian ini yang merupakan Kementerian terbesar dengan bilangan organisasi diperingkat pusat, negeri dan daerah.

16. Peranan Pembantu Tadbir di sekolah umpamanya amat penting kerana merekalah yang perlu membantu guru-guru dalam memastikan urusan perkhidmatan, pentadbiran, kewangan dan sebagainya diuruskan dengan teratur dan mengikut peraturan.

Hadirin yang dirahmati,

Hari Pembantu Tadbir Pendidikan Peringkat Kebangsaan

17. Sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap komitmen serta kegigihan para Pembantu Tadbir Pendidikan dalam melaksanakan dan memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, maka pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersetuju untuk menjadikan setiap 1 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Pembantu Tadbir Pendidikan Kebangsaan. Tahniah, saya ucapkan.

18. Penghormatan seperti ini diharap akan menjadi dorongan kepada para Pembantu Tadbir Pendidikan untuk berkhidmat dengan lebih cekap, berkesan dan produktif. Diharapkan juga, ianya dapat menjadi perangsang kepada budaya kerja yang sihat agar dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkeyakinan, bermotovasi dan berwawasan tinggi yang akhirnya menghasilkan kejayaan dan memacu kecemerlangan perkhidmatan pendidikan.

Sidang hadirin yang saya muliakan,

Tokoh Pembantu Tadbir Pendidikan Peringkat Kebangsaan

19. Pada kesempatan ini juga, saya turut ingin mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada penerima anugerah Tokoh Pembantu Tadbir Pendidikan Peringkat Kebangsaan kali pertama pada tahun ini. Saya dimaklumkan bahawa Kementerian dan KEPTAN sebagai Kesatuan mewakili sebahagian besar Pembantu Tadbir Pendidikan telah bersetuju untuk menamakan Tuan Haji Ngatmun Haji Sarbini yang merupakan YDP KEPTAN yang pertama sebagai penerima pertama Tokoh Pembantu Tadbir Pendidikan. Beliau mula bertugas di SK Sg Leman Sekinchan pada tahun 1965 dan bersara dari perkhidmatan awam pada 2002. Tuan Haji Ngatmun pernah memegang jawatan sebagai Presiden KEPTAN pada 2 Mei 1995 dan telah memberikan sumbangan yang besar dalam penubuhan Kesatuan ini dan banyak jasa beliau terhadap penubuhan kesatuan ini yang tidak boleh dinafikan. Adalah diharapkan segala susah payah beliau di peringkat awal penubuhan Kesatuan ini diiktiraf dengan penganugerahan ini.

20. Mudah-mudahan penghargaan ini, menjadi titik perangsang kepada semua Pembantu Tadbir Pendidikan agar bekerja dengan lebih tekun dan gigih demi kemajuan negara bagi sektor pendidikan khususnya. Kepada semua Pembantu Tadbir Pendidikan di Malaysia, sekali lagi saya ucap Selamat Hari Pembantu Tadbir Pendidikan.

21. Harapan saya, semoga segala usaha murni tuan/ puan dalam memperkasa perkhidmatan pentadbiran pendidikan akan dapat dijalankan dengan penuh rasa tanggung jawab dan berilltizam. Selain itu, harapan saya juga, semoga budaya integriti ini bukan sahaja dapat diterapkan dalam perkhidmatan, malah dalam kehidupan seharian bagi melahirkan masyarakat yang berwawasan dan berdaya maju.

22. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan majlis ini termasuk KEPTAN dan diharapkan KEPTAN akan terus menjaga kebajikan dan meningkatkan profesionalisme perkhidmatan Pembantu Tadbir Pendidikan.

Dengan lafaz Bismillahirrohmanirrohim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan, Kali Pertama Tahun 2019.

Sekian.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2019

No comments:

Post a Comment